Monday, 29 January 2007

'menulis bukan untuk memberi TAHU, tetapi ingin mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU' -Abu Saif-

Mengapakah masyarakat Barat yang rata-rata tidak bertuhan, mempunyai etika kerja yang baik? Mereka berhemah dengan pesakit, mereka bersikap profesional di dalam kerjaya. Sedangkan kita di Malaysia tidak begitu. Walhal kita beragama Islam. Maka jika begitu keadaannya, mengapa perlu untuk kita kembali kepada Islam untuk meningkatkan prestasi kerja?

Soalan ini penting untuk dijawab secara jujur oleh kita semua. Untuk cemerlang di dalam pekerjaan, sesiapa sahaja yang mengkaji akan bersetuju bahawa kuncinya ialah pada SIKAP. Kita mesti membina PR, skill interpersonal, kemahiran berkomunikasi dan lain-lain etika kerja yang positif. Masyarakat Barat telah menyedari akan hal ini lantas mereka memupuknya secara terpeinci. Jika di Amerika Syarikat, pendekatan 7 Habits oleh Covey, diajar di peringkat sekolah. Mereka diajar supaya profesional dalam pekerjaan. Akhirnya mereka boleh menjadi seorang doktor yang cemerlang di hospital, tetapi bukanlah suami atau isteri yang baik di rumah. Dia boleh mengendalikan sebuah syarikat yang mempunyai 500 pekerja tetapi gagal menguruskan seorang isteri dan dua anak di rumah. Seorang pramugari boleh memberikan senyuman yang paling manis kepada penumpang sebuah kapal terbang, tetapi mungkin masam mencuka setiap kali pulang kepada keluarga. Maka akhirnya, jika dinilai pada kualiti kerja, mereka berjaya walaupun tanpa AGAMA.
Akan tetapi bagaimana dengan kita umat Islam? Kita mengambil agama hanya sebagai ritual dan bersangkutan dengan hukum hakam semata-mata. Kita tidak lihat agama sebagai pembentuk sikap. Seumpama seorang yang belajar hadith, sibuk menghabiskan masa menentukan kesahihan hadith tetapi tidak memikirkan bagaimana caranya isi hadith tersebut patut diamalkan. Kita belajar tentang Solat dari segi syarat sah, wajib dan sunatnya, tetapi kita tidak peduli tentang bagaimana Solat boleh membentuk sikap positif dalam kehidupan. Apabila bercakap tentang akhlak, kita fokus kepada faedah ikhlas, sabar dan tawakal tetapi kita tidak perhaluskan teknik menanam keikhlasan, kesabaran dan tawakal itu. Agama kita menjadi pengetahuan semata-mata, pengetahuan yang memberiTAHU. Bagaimana dengan soal MAHU? Apatah lagi MAMPU? Maka akhirnya, kita mahir tentang hukum hakam tetapi akhlak kita buruk. Apabila saya sebut akhlak buruk, saya tidak merujuk kepada perbuatan mengumpat, mengkhianati majikan, curi tulang atau gangguan seksual di tempat kerja semata-mata. Malah akhlak yang buruk itu ialah pada kegagalan interpersonal skill kita, kecelaan budi bahasa, perbuatan memandang rendah orang lain, buat kerja sambil lewa dan sebagainya.
Akhirnya kita celik HUKUM tetapi buta SIKAP.
Masyarakat Barat tak peduli hukum. Walaupun mereka boleh cemerlang di dalam kerja, tetapi kehidupan mereka binasa oleh arak dan zina. Kecerdikan mereka hilang dan berubah menjadi binatang apabila alkohol dijamah. Mereka sudah tidak pedulikan dosa pahala, lantas gereja menjadikan dosa sebagai bisnes melalui pengampunan dosa yang ditawarkan. Saya rasa kita boleh bersetuju yang masyarakat Barat hari ini sedang duduk di dalam sebuah rumah yang dimakan anai-anai pada tiang-tiang serinya. Institusi keluarga musnah, 2004 melihat lebih 50% anak yang lahir di Britain, tanpa bapa. Mereka lebih selesa bersekedudukan tanpa perkahwinan kerana mendapat faedah potongan cukai dan lain-lain yang tetap sama dengan pasangan yang berkahwin. Walhal, jika bergaduh, proses cerai adalah amat sukar dan menelan belanja ribuan Pound. Tetapi saya bimbang dengan trend terkini masyarakat kita, iaitu:

HUKUM PUN TAK TENTU HALA, SIKAP PUN ENTAH APA-APA!

Adakah sesiapa yang mempedulikannya?

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/
Cheras 56000, 8 April 2006

1 comment:

Anonymous said...

selamat bekerja kpd yg dah ade tempat tujuan untuk praktikal. doakan kami yg belum berkerja tp dah bercuti ni, agar buah anggur kami cepat berbuah. hehe